Pages

Wednesday, August 11, 2010

Pemakanan Pada Bulan Puasa

BERPUASA ialah menahan diri daripada mengambil sebarang makanan dan minuman dalam jangka masa tertentu.

Sebenarnya, ramai orang tidak menyedari bahawa berpuasa dapat mengatasi halangan utama, iaitu perasaan takut semasa ketiadaan makanan.

Berpuasa merupakan cara paling berkesan menyucikan darah, organ dan semua tisu badan serta menolong mengelakkan kemerosotan badan secara pra-matang.

Ujian makmal yang dijalankan ke atas tikus menunjukkan berpuasa membantu memanjangkan purata jangka hidup tikus sebanyak 50 peratus.

Ketika berpuasa pada bulan Ramadan, kadar metabolik individu akan menurun dan mekanisme pengawal aturan yang lain mula berfungsi.

Secara amnya, berpuasa digunakan dalam bidang perubatan untuk pengurusan berat badan, menurunkan paras lemak darah dengan merehatkan saluran pencernaan.

Kesan fisiologi berpuasa

* Menurunkan paras gula dan kolesterol darah
* Menurunkan tekanan sistolik darah
* Memastikan lemak daripada makanan dan tubuh digunakan secara berkesan.

Pada hakikatnya, puasa Ramadan merupakan saranan ideal untuk rawatan penyakit diabetes jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin), obesiti dan hipertensi essential yang sederhana dan stabil.

Sebaliknya, pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung koronari, batu karang, buah pinggang dan sebagainya dikecualikan daripada berpuasa. Mereka harus mendapatkan nasihat doktor sekiranya ingin berpuasa.

Apa yang patut dimakan semasa bulan Ramadan?

Semasa bulan Ramadan, diet kita sepatutnya tidak jauh berbeza daripada diet biasa dan seharusnya mudah dan ringkas. Diet tersebut sepatutnya membolehkan kita mengekalkan berat badan normal, tanpa menurunkan atau meningkatkan berat badan.

Bagaimanapun, untuk individu yang mempunyai berat badan yang berlebihan, bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk mencapai berat badan yang sihat.

Panduan pemakanan dari seluruh dunia menitikberatkan kepentingan mengambil pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang.

Ini adalah benar terutama ketika umat Islam berpuasa dari waktu fajar sehingga waktu matahari terbenam pada bulan Ramadan. Untuk mencapai tahap kesihatan yang sihat, seseorang perlu mengambil makanan daripada semua kumpulan makanan utama, iaitu roti dan bijirin, susu dan produk tenusu, daging, kacang dan kekacang, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Diet seimbang boleh memperbaiki profil kolesterol darah, mengurangkan keadaan asid dalam perut, mengelakkan sembelit dan masalah pencernaan yang lain, serta menyumbang kepada cara hidup yang aktif dan sihat.

Memandangkan jangka masa berpuasa yang agak panjang, kita perlu mengambil makanan yang dihadamkan secara perlahan, termasuklah makanan yang mengandungi fiber berbanding dengan makanan yang cepat dihadamkan.

Makanan yang dihadamkan secara perlahan dapat bertahan selama 8 jam, sementara makanan yang cepat dihadam hanya dapat bertahan selama 3-4 jam sahaja.

Makanan yang dihadamkan secara perlahan adalah makanan atau produk bijirin dan bijian seperti barli, gandum, oat, sekoi, tepung suji, tepung penuh mil, kacang dan kekacang, nasi perang dan sebagainya (dikenali sebagai karbohidrat kompleks).

Makanan yang mengandungi serat adalah makanan yang mengandungi bran, gandum penuh mil, bijirin dan bijian, oat, nasi ulam, sayur-sayuran seperti kacang hijau, kacang pis, bayam, pucuk ubi, buah-buahan dengan kulit, buah kering terutama aprikot, buah tin, kurma dan prun, kacang seperti badam dan sebagainya.

Makanan yang cepat hadam ialah makanan yang mengandungi gula, gula putih dan sebagainya (dipanggil karbohidrat ringkas).

Contoh makanan termasuklah kuih manis, minuman sirap, kordial dan minuman tin. Pengambilan makanan ini secara berlebihan boleh mengakibatkan seseorang berasa letih atau lesu sejurus selepas makan.

Makanan yang kita ambil haruslah seimbang dan mengandungi makanan daripada semua jenis kumpulan makanan, iaitu buah-buahan, sayur-sayuran, daging/ayam/ikan, roti/bijirin dan makanan tenusu.

Makanan yang digoreng adalah tidak sihat dan perlu dihadkan pengambilannya. Makanan ini boleh menjejaskan penghadaman, menyebabkan pedih perut atau heart burn dan masalah berat badan.

Sebaik-baiknya elakkan:

* Makanan goreng dan tinggi lemak
* Makanan yang mengandungi terlalu banyak gula
* Pengambilan makanan secara berlebihan.

Makan dan minum ketika berbuka puasa

Semasa berbuka, diet yang biasa haruslah diambil secara tetap.

Mula dengan makanan yang ringan dan mudah dihadam seperti buah-buahan atau jus buah-buahan, diikuti dengan makanan yang sederhana dan kemudiannya snek secara berkala.

Ambillah makanan karbohidrat kompleks (sila rujuk kepada senarai di atas) semasa sahur kerana makanan ini boleh bertahan lebih lama dan mengurangkan rasa kelaparan.

Buah kurma adalah sumber gula, fiber, karbohidrat, kalsium dan magnesium yang baik.

Kacang badam kaya dengan protein dan fiber serta mengandungi lemak tepu yang rendah. Pisang adalah sumber kalsium, magnesium dan karbohidrat yang baik.

Mengenai minuman pula, pastikan anda mengambil air dan jus buah-buahan yang mencukupi antara waktu makan malam dan waktu tidur supaya tubuh anda dapat memelihara keseimbangan cecair tubuh.

Mengatasi masalah biasa ketika berpuasa

Sembelit. Ini mungkin disebabkan oleh pengambilan makanan terproses secara berlebihan, jumlah pengambilan air dan fiber yang tidak mencukupi dalam diet.

Elakkan pengambilan makanan terproses secara berlebihan dan tingkatkan jumlah pengambilan fiber dengan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi dalam diet.

Buah-buahan seperti pisang, betik, tembikai, prun dan sayur-sayuran berdaun seperti pucuk ubi, ulam, bayam dan kangkung membantu membekalkan fiber yang diperlukan.

Sakit kepala. Biasanya dialami apabila seseorang berhenti mengambil kafein dan tembakau, kurang tidur dan kelaparan. Keadaan ini bertambah teruk pada hujung hari.

Kurangkan pengambilan kafein dan tembakau secara perlahan-lahan, bermula dengan satu atau dua minggu sebelum Ramadan. Pastikan anda cukup tidur untuk mengurangkan sakit kepala.

Paras gula dalam darah yang rendah. Sesetengah orang yang berpuasa dan bukan pesakit diabetes berasa lemah, pening, letih, lesu, mengalami daya tumpuan yang rendah, menggigil, tidak dapat menjalankan aktiviti fizikal, sakit kepala atau mengalami palpitasi (debaran jantung yang hebat). Ini mungkin merupakan simptom tahap gula yang rendah.

Mengambil terlalu banyak gula seperti karbohidrat ringkas khasnya ketika sahur boleh meningkatkan paras insulin lalu menurunkan paras gula dalam darah. Hadkan pengambilan makanan dan minuman yang bergula ketika sahur dan semasa berbuka puasa untuk membantu mengelakkan penurunan gula dalam darah secara mendadak.

Sebaliknya, ambillah buah-buahan segar dan jus buah-buahan tanpa gula sebagai sumber tenaga yang baik ketika berbuka puasa.

Pesakit diabetes dan mereka yang menghidap penyakit tertentu mesti mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa.

Penyelarasan terhadap ubat-ubatan, diet dan tahap aktiviti mungkin perlu dilakukan di bawah penyeliaan pakar-pakar perubatan sebelum berpuasa.

Mengikut kata-kata Otto Buchinger, seorang pakar perubatan dari Jerman yang fasih dalam `terapi berpuasa', ``Berpuasa merupakan kaedah rawatan biologi yang paling berkesan dan tidak dapat dipertikaikan.

"Ia bukanlah setakat satu operasi pembedahan fizikal semata-semata, tetapi merupakan satu rawatan yang melibatkan pembersihan, pemulihan, pengembalian tujuan hala, pembebasan dan relaksasi yang tulen.

No comments:

Post a Comment